TRANSCOMM UNGGULI HARI TERBUKA FKP
![trancomm.jpg](https://static.wixstatic.com/media/e4e600_c8af7f0561f748c288a963a2e09010d7.jpg/v1/fill/w_960,h_640,al_c,q_85,enc_auto/e4e600_c8af7f0561f748c288a963a2e09010d7.jpg)
Nilai, 8 Mei – sikap berdaya saing, semangat waja dan sentiasa merebut peluang yang ada telah memperlihatkan TRANSCOMM ( Persatuan Komunikasi) muncul sebagai Juara Keseluruhan dan turut merangkul Anugerah Sinergi pada Hari Terbuka Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), pada Majlis Penutup di Dewan Kuliah Fakulti 1.2 semalam.
Kejayaan ini dapat memberi semangat baharu dalam membentuk dan meningkatkan kejayaan mahasiswa Komunikasi sendiri.
Menurut Dekan FKP, Prof Madya Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, beliau berasa gembira dan bangga kerana mahasiswa Komunikasi mempunyai kemahiran tersendiri dan saling bekerjasama di dalam sebuah pasukan.
“Sebagai Dekan Fakulti dan merupakan Pensyarah Komunikasi, saya turut berbangga dengan kejayaan dan melihat Komunikasi lebih terkehadapan serta saya berharap mahasiswa program lain dapat meningkatkan potensi diri mereka untuk menyaingi mahasiswa Komunikasi.
Hari Terbuka ini memberi manfaat kepada semua yang terlibat terutamanya dalam aspek Kemahiran Insaniah yang akan membantu Mahasiswa FKP di alam kerjaya akan datang.
“Program seperti ini memberi manfaat dan memberi peluang kepada semua yang terlibat untuk mereka lebih mahir dalam Kemahiran Insaniah dan proaktif untuk alam kerjaya pada masa akan datang”.
Selain itu, beliau turut berharap Penganjur Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (PMFKP) akan mengadakan aktiviti yang berunsur akademik pada tahun hadapan seperti Pertandingan Debat, Pidato, Seminar Strategi Belajar, berbalas pantun atau aktiviti dengan masyarakat luar.
“Saya berharap pihak penganjur akan meneruskan program seperti ini, tetapi perlu menambahbaik aktiviti yang sedia ada seperti Pertandingan Debat, Pidato, Seminar Strategi Belajar, berbalas pantun atau aktiviti dengan masyarakat luar untuk kebaikan mahasiswa sendiri”.
Menurut Pengarah Program, Nur Muhammad Faiz Nor Baharin, TRANSCOMM dilihat mempunyai bakat yang luar biasa dan layak memiliki Anugerah Sinergi tersebut.
“Saya melihat TRANSCOMM mempunyai bakat yang luar biasa dan sentiasa menghangatkan suasana terutamanya dalam setiap program yang kami anjurkan”.
“Kami juga menilai Anugerah Sinergi ini dari segi pencapaian akademik, komitmen setiap persatuan dan semangat yang ditunjukkan dalam setiap aktiviti, dan kami memilih TRANSCOMM sebagai persatuan yang layak memiliki anugerah tersebut,” kata Faiz ketika ditemuramah.
Turut ditemuramah Ketua Komunikasi, Ahmad Shauqi Mohd Yassin, berkata kejuaraan ini merupakan kejayaan pertama program Komunikasi dalam Hari Terbuka FKP dan turut memperlihatkan kerjasama dan kehebatan mahasiswa Komunikasi dalam aktiviti sepanjang hari Terbuka ini dijalankan.
“Kerjasama adalah faktor utama untuk kami merangkul anugerah ini, dan saya turut berbangga dan gembira kerana anugerah ini merupakan anugerah sulong kami dalam program Komunikasi”.
Hari Terbuka FKP ini telah berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 7 Mei dan pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya pameran setiap program, gerai jualan, pertandingan khat, pertandingan nasyid, dan pertandingan persembahan elektif.
Majlis Penutup ini dirasmikan oleh Dekan FKP, Prof Madya Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan turut hadir Timbalan Dekan FKP, Dr. Mahazan Abdul Mutalib.
![g.png](https://static.wixstatic.com/media/e4e600_1272b0dcfa084cb294042311515aa85d.png/v1/fill/w_670,h_382,al_c,q_85,enc_auto/e4e600_1272b0dcfa084cb294042311515aa85d.png)
![baru.png](https://static.wixstatic.com/media/e4e600_7478c169feca47ffac875eea884fb5c5.png/v1/fill/w_668,h_453,al_c,q_85,enc_auto/e4e600_7478c169feca47ffac875eea884fb5c5.png)