top of page

MUDARAT MINUM AIR PUTIH BERLEBIHAN

perbanyak minum.jpg

Amalan minum air putih sememangya memberi kesan positif untuk tubuh badan manusia. Namun begitu, tahukah anda bahawa minum air putih yang berlebihan juga akan menghasilkan tindak balas yang negatif terhadap tubuh badan kita?

Tubuh manusia sangat memerlukan air dalam jumlah yang mencukupi kerana air berfungsi untuk membantu kerja sel dan organ dalam tubuh badan manusia. Oleh sebab itu, kita disarankan untuk mengamalkan minum air putih lapan gelas sehari atau satu liter bagi setiap 25kg mengikut berat badan individu itu sendiri. Apabila air mencukupi, kerja sel dan organ dalam tubuh badan manusia akan menjadi lebih optimum. Namun, apakah bahayanya pula jika terlebih meminum air putih sedangkan kita sering digembar-gemburkan dan ditanam di dalam minda sejak kecil lagi bahawa semakin banyak minum air, tubuh badan akan semakin sihat di samping mendapat kulit yang cantik khususnya bagi kaum wanita yang sememangnya sinonim dengan kecantikan.

Tanggapan kita selama ini bahawa air yang berlebihan baik untuk kesihatan adalah salah sama sekali. Terdapat beberapa keburukan minum air yang berlebihan. Antaranya ialah boleh merosakkan komposisi darah. Jika tubuh kita menerima air yang berlebihan, ia akan mengganggu kadar penghasilan darah dalam tubuh. Selain itu, ianya juga mengganggu perjalanan darah dalam tubuh. Jika komposisi darah terganggu maka, tubuh kita juga yang akan menerima padahnya. Pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku jika hal ini diabaikan. Di samping itu, minum air yang berlebihan juga boleh mengakibatkan pembengkakan sel dalam tubuh kerana ternyata ianya menurunkan kadar sodium dalam darah. Ianya juga boleh mengakibatkan risiko yang tinggi untuk pengsan. Risiko terburuk dari pembegkakan sel ialah, individu akan mengalami kekejangan dan tidak mustahil untuk mengalami koma. Selain itu, antara perkara yang membimbangkan jika minum air putih berlebihan ialah ianya boleh menyebabkan kematian. Hal ini terjadi apabila terjadinya pembengkakan serius terutamanya di bahagian sel otak individu itu sendiri kerana seperti yang kita sedia maklum, sel di otak banyak berhubung dan saling berkaitan dengan sel-sel tubuh badan yang lain contohnya seperti sel mata yang mempunyai kaitan rapat dengan otak. Air yang berlebihan juga dapat meningkatkan kadar atau ‘volume’ darah. Keadaan tersebut memaksa organ ginjal bekerja lebih keras untuk mengurangi jumlah air dalam sistem peredaran tubuh manusia. Menurut Exercise Associated Hyponatraemia (EAH) menganggarkan lebih kurang 1600 kes yang mengakibatkan kematian di seluruh dunia akibat dari minum air putih yang berlebihan.

1136279620X310.jpg

Sejauh manakah kesahihan fakta ini? Adakah benar minum air putih berlebihan melebihi kadar yang diperlukan boleh membawa padah? Ya, sememangnya ianya membawa kesan negatif ke atas tubuh badan kita. Hal ini terbukti apabila surat khabar dari Taiwan ‘THE NEW PAPER’ edisi khamis, 22 November 2007 melaporkan dan mengetengahkan isu seorang wanita yang pengsan dan apabila tersedar dari pengsan, beliau didapati kehilangan deria penglihatan akibat meminum tujuh liter air putih dalam masa sehari sedangkan badan manusia hanya memerlukan satu liter untuk setiap 25kg berat badan sehari. Menurut Dr. Hang Shou Shan, wanita tersebut pengsan bukan disebabkan masalah kesihatan kerana mangsa tidak mempunyai sebarang rekod yang menunjukkan beliau mengalami simptom penyakit kronik tetapi beliau pengsan disebabkan tekanan darah yang mengejut dan berada pada tahap yang sangat tinggi. Berdasarkan kes ini, dapat kita rumuskan bahawa sememangnya minum air yang berlebihan ada negatifnya.

Antara simptom negatif yang menunjukkan tubuh badan bertindak balas setelah mengambil air putih yang berlebihan ialah terkadang dada akan terasa senak, buah pinggang pula rosak akibat aktif bekerja menapis air yang diminum, otak rasa terbeban dan stress dan pandangan juga boleh menjadi kabur seperti kes wanita di atas. Hal ini kerana terlebih minum air boleh mengurangkan kandungan sodium dalam darah. Kandungan ini sememangnya sangat diperlukan untuk mengekalkan ukuran metabolism sel. Tetapi, apabila individu tersebut terlalu banyak minum air, kandungan sodium boleh berkurangan dan menyebabkan sel otak membengkak. Apabila kian membengkak, ianya boleh menyebabkan tekanan dan pendarahan dalam otak yang serius jika dibiarkan. Jika dirujuk kes di atas, wanita tersebut hilang penglihatan akibat kerosakan sel otak yang serius yang menyebabkan beliau hilang penglihatan buat selamanya.

Konklusinya, minum air putih yang berlebihan melebihi keperluan tubuh badan boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap tubuh badan manusia. Oleh itu, sebaiknya kita perlu mengetahui berapa banyak atau kuantiti sebenar air yang diperlukan oleh tubuh diri masing-masing kerana hampir setiap individu berlainan jumlah berat badannya. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Anda tidak perlu minum secara berlebihan untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat. Untuk mendapatkan tahap kesihatan yang optimum, minumlah sekadar yang perlu dan amalkanlah pemakanan yang sihat. Marilah kita renungkan bersama. Jika penyakit datang, banyak mudaratnya terhadap diri individu itu sendiri dan yang paling penting ialah buanglah fahaman yang sering dihebahkan bahawa minum air berlebihan akan meningkatkan lagi kesihatan tubuh kerana ianya salah sama sekali setelah banyak kes yang telah membuktikan ada mudaratnya jika kita berbuat demikian. Kawal kadar pengambilan makanan dan minuman dan anda akan dapat kesihatan yang baik. Berfikir dahulu sebelum membuat apa sahaja keputusan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

   Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

bottom of page