MOCK TRIAL: ''SINISTRA ANTARA DUA JALAN"
USIM, 24 April- Mock Trial: ‘Sinistra Antara Dua Jalan’ versi teater yang dipentaskan secara langsung buat julung kalinya bertempat di Dewan Besar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menarik perhatian ramai pihak apabila seramai 1600 orang penonton hadir memenuhi Dewan Besar USIM pada malam tersebut.
Pihak penganjur berkata, tiket telah habis dijual dalam tempoh seminggu, dan mereka terpaksa membuka lagi ruang sebanyak 500 tempat duduk tambahan atas pemintaan mahasiswa dan mahasiswi yang ingin menyaksikan pementasan tersebut.
Teater Mock Trial : ‘Sinistra Antara Dua Jalan’ pada tahun ini dilihat ternyata berbeza daripada pementasan-pementasan yang pernah dianjurkan pada tahun sebelum nya.
Pementasan teater kali ini bertemakan dilemma seorang remaja lelaki di antara persimpangan kehidupan.
Pengarah pementasan teater ‘Sinistra Antara Dua Jalan’, Muhammad Fadhil bin Ab. Razak berkata bahawa pementasan teater tahun ini menampilkan sisi yang berbeza apabila memilih tema liku perjalanan kehidupan seorang remaja bawahan umur yang sering memberontak sebagai tonggak kekuatan jalan cerita yang ingin diketengahkan.
Beliau mengulas, tajuk teater ini menggunakan perkataan ‘sinistra’ yang membawa maksud kiri dalam bahasa Latin, yang berkisarkan mengenai konflik yang dihadapi oleh seorang remaja lelaki, Nizam (watak utama) yang terpaksa berhadapan dengan konflik tatkala berada di pertengahan persimpangan dalam memilih haluan hidupnya.
Salah seorang penonton, Zul Arid’z bin Zulkifli mengatakan bahawa pementasan ‘Sinistra Antara Dua Jalan’ pada tahun ini berjaya mengangkat martabat kasih sayang seorang ibu sebagai nadi sokongan kekuatan jalan cerita yang dipentaskan.
Pementasan teater ‘Sinistra Antara Dua Jalan’ melabuhkan tirai pada sekitar jam 11.30 malam dengan persembahan muzik daripada kumpulan The Busker’s USIM yang berperanan menjadi pemuzik latar belakang bagi pementasan teater tersebut.